Saturday, March 28, 2009

Terima Kasih Semua...

Salam,

Alhamdulillah, kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. yang masih memberikan saya kekuatan untuk terus menulis dalam ruangan ini. Saya ingin mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada semua perwakilan UMNO sama ada yang memberikan undi mahupun tidak kepada pencalonan saya dalam pemilihan UMNO kali ini.

Saya akan tetap terus berjuang walaupun tidak dipilih perwakilan kali ini. Ada hikmah atas sesuatu yang ditakdirkan. Insya Allah, perjuangan akan bersambung di Bukit Selambau. Semoga Allah s.w.t terus memberikan kekuatan fizikal dan mental untuk menghadapi hari mendatang.

p/s: Terima kasih atas komen dan nasihat berguna dari pengunjung blog ini. Pandangan anda amat saya hargai.

Terima Kasih Semua!

DSSK

Monday, March 23, 2009

BERATNYA AMANAH...SEKADAR RENUNGAN

Salam,

Saat makin hampir khususnya kepada para Perwakilan UMNO yang akan menunaikan amanah ahli akar umbi UMNO Malaysia. Buatlah pilihan terbaik, usah rosakkan apa yang telah kita bina selama ini. Pilihan di tangan anda sekalian.

Rasulullah s.a.w. pula mengingatkan, apabila AMANAH telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya, Bagaimana mensia-siakannya? Rasulullah menjawab: Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya. (Hadis Riwayat AL-BUKHARI)

Terima kasih.

DSSK

Thursday, March 19, 2009

AKUR KEPUTUSAN...PERKASA PERJUANGAN

Salam,

Minggu ini umum dikejutkan dengan keputusan tegas oleh Lembaga Disiplin UMNO Malaysia yang telah menghilangkan kelayakan calon untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Utama Mohd.Ali bin Rustam.

Sesungguhnya ia berlaku kesan dari keghairahan berkempen namun mungkin ada ruang yang akan membolehkan segala yang terjadi ini sebagai satu kebaikan, Insya Allah. Saya berharap agar semua ahli UMNO di seluruh Malaysia dapat menerima keputusan tersebut walaupun ia berat untuk diterima terutamanya oleh penyokong setia calon yang berkenaan. namun, apa yang paling perlu ialah memperkasa perpaduan parti demi kelangsungan perjuangan yang murni ini.

Semua ini adalah ujian dan dugaan yang Allah s.w.t. berikan, moga kita semua dapat menerimanya dengan penuh keinsafan kerana setiap yang berlaku itu tetap mempunyai hikmah di sebaliknya.

Terima kasih...

Saturday, March 7, 2009

SALAM MAULIDUR RASUL..HAYATI PERJUANGAN, PERKASA PERPADUAN...



Salam Perjuangan,

Di kesempatan ini, saya mengucapkan Salam Maulidur Rasul Muhammad S.A.W. kepada seluruh rakyat Malaysia terutama kepada ahli-ahli UMNO Malaysia yang masih setia dengan perjuangan memperkasakan UMNO sebgai tunjang kekuatan dan perpaduan Islam dan Melayu.

Kepada para pengunjung blog yang setia memberikan komen, saya seperti biasa sentiasa mengalu-alukan sebarang pandangan dan teguran membina agar saya dapat memperkukuhkan kematangan diri dalam usaha meneruskan kelangsungan perjuangan murni ini.

Sekian dan terima kasih.

SALAM MAULIDUR RASUL MUHAMMAD S.A.W.

Terima kasih.

DSSK

8 MAC...Kelantan Darul Naim...Meneruskan Langkah Perjuangan..

Salam Perjuangan,

Alhamdulilah, selesai acara yang diaturkan di Terengganu. Syukur atas sambutan yang telah diberikan kepada saya. Semoga Allah membalas kepercayaan saudara/i sekalian kepada saya dengan sejuta kebaikan demi melancarkan perjuangan 'jihad' memperkasa ummah melalui parti 'keramat' UMNO ini. Insya Allah, andai kita menjitupadukan azam dan iltizam dalam mencerna makna perjuangan ini, saya yakin Allah akan memberikan pertolongannya kepada kita selama mana kita ikhlas berjuang pada jalanNya.

Negeri yang akan saya jelajahi seterusnya dalam siri 'road-show' kempen sempena Pemilihan UMNO 2009 ialah Negeri Tanah Rendah Sekebun Bunga atau Kelantan Darul Naim. Saya menyeru kepada para perwakilan agar turut hadir memeriahkan majlis yang diatur ini.

Perjuangan tetap kita teruskan walaupun jutaan dugaan dan rintang bakal mengahalangi perjalan kita ini. Yakinlah, hanya kita yang mampu memperkasakan UMNO.

Sekian dan terima kasih.

Salam Hormat.

DSSK

Friday, March 6, 2009

Bertandang Ke Terengganu Darul Iman...Kesibukan yang tak pernah putus...

Salam,

Ketika ini saya dalam perjalanan ke Primula Beach Resort Hotel, Kuala Terengganu selepas selesai sesi yang hampir serupa di Sabah Negeri Di Bawah bayu minggu lepas. Tak dinafikan, memang rasa keletihan itu wujud tetapi semua itu saya abaikan demi memenuhi tempoh kempen yang semakin singkat hari ke hari.

Insya Allah, semoga sokongan anda semua masih bersama saya demi perjuangan yang kita bawa. Biar apa kata mereka yang tak sekapal dengan kita, apa yang penting niat kita tetap suci demi kelangsungan politik bangsa yang kian tercabar oleh anasir yang berkepentingan.

Terima kasih,

Salam Hormat,

DSSK

Thursday, March 5, 2009

Hari-Hari Sibuk....

Salam Perjuangan,

Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada pengunjung laman blog ini yang sudi memberikan komen terhadap diri saya. Saya ingin nyatakan di sini dalam kesibukan memanfaatkan tempoh berkempen untuk jawatan Ahli majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, saya tak dapat lari dari kekangan menghadiri jemputan dan majlis-majlis yang telah diatur sehingga sedikit sebanyak telah membataskan saya untuk memberi perhatian penuh kepada pengisian blog ini. Namun begitu, saya mengharapkan agar sebarang pertanyaan dan komen atau makluman boleh dipanjangkan ke emel saya dssk09@gmail.com. Insya Allah, jika berkesempatan dalam masa terdekat saya akan menjawab segala yang berkaitan.

Walau apapun, kita mesti memperteguhkan keyakinan dan iltizam diri untuk terus memperkasa UMNO tanpa sebarang alasan kerana jika kita gagal maka akan terpupuslah satu wadah perjuangan yang unggul untuk memartabatkan agama, bangsa dan nusa.

Akhir kalam, terima kasih kepada semua pejuang UMNO yang terus gigih mempertahankan kelangsungan politik Melayu di Malaysia.

Salam Hormat,

DSSK